Prebiotik, Probiotik Dan Kesihatan Melalui Usus.

Amalan penjagaan kesihatan penting untuk memastikan diri kita dapat menjalankan kegiatan harian dengan sempurna.

Ada berbagai cara untuk memastikan badan kekal sihat atau penyakit yang dihidapi dikawal dengan baik.

Antaranya mengamalkan cara hidup sihat dengan dengan diet pemakanan yang sempurna, aktiviti riadah dan senaman yang betul dan berterusan dan mengambil nutrisi tambahan seperti vitamin dan supplement bila perlu.

Pemeriksaan kesihatan dan rawatan profesional perubatan juga perlu untuk menjamin penyakit yang dihidapi terkawal.

Prebiotik dan probiotik adalah salah satu proses kesihatan badan melalui sistem gastro-usus.

Prebiotik, iaitu nutrisi dalam kumpulan karbohidrat/fiber mudah larut, menjadi sumber makanan untuk probiotik, iaitu kumpulan bakteria sedia ada secara semulajadi dalam sistem gastrousus.

Banyak spesies bakteria probiotik dalam usus dikenalpasti berguna kepada hostnya. Kesihatan host bergantung kepada banyaknya bakteria baik di usus berbanding bakteria pembawa penyakit.

Spesies bakteria probiotik yang berlainan mempunyai keperluan nutrisi yang berbeza. Prebiotik yang berkualiti berupayaan merangsang perkembangan bakteria yang sesuai untuk kesihatan host.

Para saintis dan pakar perubatan mendapati banyak penyakit bermula dari keradangan dalam sistem gastro-usus akibat makanan, bahan kimia, ubatan, persekitaran dan gaya hidup.

Kajian masih dilakukan hingga sekarang untuk mengenalpasti jenis prebiotik dan probiotik yang terbaik untuk menjamin kesihatan yang optimum.